Khaulah
merupakan seorang wanita yang fasih berkata-kata, cerdik dan selalu merujuk
kepada Allah dan RasulNya apabila menghadapi sesuatu masalah. Dalam keadaan apa
sekalipun, imannya tetap teguh dan utuh. Surah al-Mujadalah menceritakan
peristiwa penting yang terjadi pada Khaulah yaitu ‘zihar’, dan
ia dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada seluruh umat Islam.
KAITAN
KHAULAH R.HA DENGAN SURAH AL-MUJADALAH
Pada suatu
hari, Aus Bin Shamit telah mengatakan kepada Khaulah Binti Tha'labah isterinya,
"Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku." Kemudian Aus keluar
setelah mengatakan perkataan tesebut. Beberapa saat kemudian, Aus masuk dan
ingin bersama dengan Khaulah. Akan tetapi kesadaran hati dan kehalusan perasaan
Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah tehadap kejadian ‘zihar’
yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam.
Khaulah
berkata, "Tidak... jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya,
engkau tidak boleh menjamahku kerana engkau telah mengatakan sesuatu seperti
yang telah engkau ucapkan terhadapku. Jadi, tunggulah sampai Allah dan
Rasul-Nya memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita."
Kemudian
Khaulah keluar menemui Rasulullah saw dan duduk di hadapan Nabi serta
menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya. Khaulah berdialog
dan meminta fatwa tentang perkara tersebut. Rasulullah saw bersabda: "Aku
belum pernah menerima perintah (wahyu) berkenaan urusanmu tersebut, aku tidak
melihat melainkan engkau sudah haram baginya."
Khaulah
mengulangi perkataannya dan menjelaskan kepada Rasululah saw apa yang akan
menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus bercerai, namun Rasulullah tetap
menjawab, "Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya."
Selepas itu,
Khaulah sentiasa mengangkat kedua tangannya memohon ke hadirat Ilahi untuk
menguraikan kesedihan dan kesusahan yang terpendam di dalam hatinya itu. Dalam
sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Hakim, Baihaqi serta
lainnya dari 'Aisyah r.a., dia berkata :"Maha Suci Allah yang
pendengaran-Nya mendengar segala sesuatu. Sungguh aku mendengar perkataan
Khaulah binti Tsa'labah dan sebagiannya tidak dapat ku dengar, ketika dia
mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah saw dan berkata : Wahai
Rasulullah, dia menghabiskan masa mudaku dan aku banyak melahirkan anak
untuknya. Setelah usiaku menjadi tua dan aku berhenti melahirkan, dia melakukan
zihar terhadapku. Ya, Allah, aku mengeluh kepada-Mu."
Kemudian turunlah wahyu (Surah
al-Mujadalah ayat 1-5) yang bermaksud:
[1]
Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenankan) aduan perempuan yang
bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa
merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia
mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi
Maha Melihat.
[2]
Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah
orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu
mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan
mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan
suatu perkara yang munkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha
Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3] Dan
orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari
apa yang mereka ucapkan (bahwa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah
(suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri)
bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan
mendekati perkara yang munkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam
PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[4] Kemudian,
sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua
bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya
sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam
puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada
Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah)
dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan
azab siksa yang tidak terperi sakitnya.
ARAHAN NABI
TERHADAP KHAULAH R.HA DAN SUAMINYA
Apabila
turunnya wahyu, Rasulullah saw pun menjelaskan kepada Khaulah tentang kaffarah
zihar:
Nabi:
Perintahkan kepadanya (suami Khaulah) untuk memerdekakan seorang budak.
Khaulah: Ya Rasulullah, dia tidak memiliki seorang budak yang boleh dia
merdekakan. Nabi: Jika demikian, perintahkan kepadanya untuk puasa dua bulan
berturut-turut. Khaulah: Demi Allah, dia adalah lelaki yang tua dan tidak mampu
untuk berpuasa. Nabi: Perintahkan kepadanya memberi makan kurma kepada sebanyak
60 orang miskin. Khaulah: Demi Allah, ya Rasulullah, dia tidak memilikinya.
Nabi: Aku bantu separuhnya. Khaulah: Aku bantu separuhnya yang lain, wahai
Rasulullah. Nabi: Engkau benar dan baik, maka pergilah dan sedekahkanlah kurma
itu sebagai kaffarah baginya, kemudian bergaullah dengannya secara baik. Maka
Khaulah pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah itu.
KHAULAH R.HA
DAN SAYYIDINA UMAR RA
Khaulah
pernah memberhentikan Khalifah Umar bin al-Khattab ra yang sedang berjalan
untuk memberikan nasihat kepadanya. Beliau berkata, "Wahai Umar, aku telah
mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada
di pasar Ukaz, engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah
waktu hingga engkau bernama Umar, kemudian berlalu hari demi hari sehingga
memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu,
dan ketahuilah bahawa sesiapa yang takut kepada siksa Allah maka yang jauh akan
menjadi dekat dengannya, dan sesiapa yang takut mati, maka dia akan takut
kehilangan, dan sesiapa yang yakin akan adanya hisab, maka dia takut terhadap
azab Allah."
Khaulah
menasihati Sayyidina Umar Amirul Mukminin, dalam keadaan Sayyidina Umar berdiri
sambil menundukkan kepalanya dan mendengar perkataan Khaulah dengan baik.
Seorang sahabat yang bersama Umar bin al-Khattab ketika itu mengatakan kepada
Khaulah, "Engkau telah banyak berbicara kepada Amirul Mukminin wahai
wanita!"
Sayyidina
Umar kemudian menegurnya, "Biarkan dia,.. tahukah kamu siapakah dia?
Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ke
tujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya." Dalam
riwayat yang lain, Umar berkata, "Demi Allah, seandainya beliau tidak
menyudahi nasihatnya kepadaku hingga malam hari, maka aku tidak akan
menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika
telah datang waktu solat, maka aku akan mengerjakan solat, kemudian kembali
untuk mendengarkannya hingga selesai keperluannya."
PENGAJARAN
DARI SIFAT KHAULAH R.HA
1. Kerukunan
hidup suami isteri walaupun sudah tua. Kasih sayang di antara suami isteri di
atas dunia ini, akan membawa kebahagiaan di akhirat nanti. Lantaran itu,
Khaulah yang menyayangi suaminya berusaha memastikan agar mereka tidak
melakukan sesuatu yang bisa mendatangkan kemurkaan Allah.
2. Senantiasa
mencari penyelesaian dengan merujuk kepada Allah dan RasulNya. Alangkah baiknya
seorang wanita muslimah seumpama Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah
saw dan berdialog untuk meminta fatwa, serta mengadu perihal dirinya kepada
Allah. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhid yang tersemat kukuh dalam
hati sanubari hasil yang telah dipelajari dari Rasulullah saw.
3. Isteri
yang sholehah. Nabi saw bersabda mengenai hal ini yang bermaksud: "Tidaklah
orang mukmin mendapat faedah sesudah taqwa kepada Allah yang lebih baik
daripada isteri yang sholehah. Jika dia menyuruhnya, maka isteri mentaatinya.
Jika dia memandang kepadanya, isteri menyenangkannya. Jika dia tidak ada di
rumah, isteri memelihara harta dan kehormatan suaminya." Dalam
hadis yang lain, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Dunia ini
perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang sholehah".
4. Allah
membatalkan hukum zihar yang merupakan perceraian pada zaman Jahiliyyah,
sebaliknya digantikan dengan kaffarah.
5. Wajib
kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam sesuatu hukum.
Wallahu a'lam.

No comments:
Post a Comment